Kini Malaysia menuju ke arah negara
perindustrian menjelang tahun 2020 di mana sektor perniagaan dijangka bertambah
penting. Ia bukan sahaja merupakan sektor sokongan tetapi lebih ke arah
menyediakan asas dan teknologi bagi memastikan kejayaan pembangunan perusahaan
yang lebih besar. Perkataan usahawan mula diperkenalkan dalam tahun 1970 iaitu
semasa pelancaran Dasar Ekonomi Baru. Ianya bukan satu perkara yang baru kepada
kita. Pada masa zaman Melayu Melaka, mereka yang melibatkan diri dalam bidang
perniagaan dipanggil sebagai peniaga. Kemunculan bidang keusahawanan merupakan
satu fenomena biasa. Kebanyakan tokoh pada masa lalu percaya bahawa
keusahawanan merupakan satu aktiviti yang kian dilupakan malahan perhatian
hanya tertumpu kepada syarikat-syarikat besar sebagai model sistem perniagaan
bebas.
Dari
sudut pemikiran pengurusan, ianya lebih menjurus kepada sains pengurusan dan
proses membuat keputusan. Pada masa itu juga, sekolah pengurusan lebih memberi
penekanan menguji lima prinsip pengurusan yang diperkenalkan oleh Fayol iaitu
perancangan, pengrekrutan, pengorganisasian, kepimpinan dan kawalan. Walau bagaimanapun,
kemunculan semula bidang keusahawanan kini telah mengambil tempat yang luas
dalam asas institusi dan ekonomi.
Definisi
Usahawan
Perkataan usahawan mempunyai erti yang sama
dengan perkataan Inggeris ‘entrepeneur’. Perkataan ‘entrepreneur’ berasal dari
perkataan Perancis, ‘entreprende’ yang bererti memikul tugas atau
tanggungjawab. Perkataan ‘entrepeneur’ telah digunakan semenjak tahun 1775 oleh
Richard Cantillon yang merujuk kepada kegiatan dalam keusahawanan. Banyak
kajian telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan beberapa pengertian kepada
perkataan usahawan telah diberikan. Menurut Kamus Dewan Edisi Baru mentakrifkan
usahawan sebagai orang yang mengusahakan sesuatu perusahaan iaitu pengusaha.
Pengusaha yang dimaksudkan adalah sebagai pekerjaan secara besar-besaran untuk
membuat barang-barang industri atau pekerjaan berniaga secara besar-besaran.
The Encyclopedia Americana International Edition memberi maksud usahawan
sebagai ahli perniagaan yang mengambil risiko menggabungkan faktor pengeluaran
termasuk modal, buruh, bahan dan menerima ganjaran melalui keuntungan daripada
nilai pasaran barangannya. Joseph A. Schumpeter, seorang ahli ekonomi
menyatakan usahawan adalah seorang inovator yang boleh mengakibatkan kepada
suatu pembaharuan.
Keusahawanan adalah antara perkara yang
terpenting kepada individu, keluarga, pembangunan masyarakat, pembangunan
negara serta agama. Ianya merupakan satu bidang ilmu yang merangkumi
unsur-unsur sikap, kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan dengan perniagaan
dan perusahaan.
Oleh itu, untuk menjadi seorang usahawan
berjaya seharusnya memiliki ciri-ciri dan kemahiran yang pelbagai. Antaranya
ialah jaringan yang luas, berani mengambil risiko, berwawasan, ketaatan, budaya
terbuka dan sebagainya. Di Malaysia ramai usahawan yang telah berjaya yang mana
mereka mempunyai ciri-ciri usahawan yang ada dalam diri bagi memajukan
perusahaan sehingga mereka menjadi terkenal sama ada di mata negara ataupun
dunia.