Saturday, 31 October 2015

Berani Mengambil Risiko (Open Risk Taker)

Seorang usahawan tidak takut akan mengambil risiko. Mereka melihat setiap risiko yang dihadapi sebagai peluang untuk mengaut keuntungan. Mereka berpendapat bahawa semakin tinggi sesuatu risiko, semakin besar pulangannya. Sebaliknya, semakin kecil risiko, semakin sedikit pulangannya.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang usahawan yang bijak, mereka tidak akan mengambil risiko secara sewenang-wenangnya. Usahawan bukan penjudi. Mereka tidak akan mengambil sesuatu keputusan dengan mengikut gerak hati sahaja. Mereka akan menimbangkan risiko tersebut berdasarkan kelebihan dan kelemahan serta kemampuannya untuk menghasilkan balasan yang lumayan. Usahawan hanya akan mengambil risiko sekiranya risiko tersebut menjamin pulangan yang selamat. Usahawan berkemungkinan besar akan mengalami kerugian sekiranya risiko tidak diperhitungkan sebelum mengambil tindakan.

Contoh usahawan terkenal di Malaysia yang berani mengambil risiko ialah Tan Sri Lim Goh Tong. Beliau pernah dikatakan gila dan diketawakan semasa beliau menyatakan hasratnya untuk membangunkan Gunung Ulu Kali. Orang lain menyatakan hasrat itu adalah mustahil untuk mencapai dan menjangkakan pelaburan beliau tidak akan memberi sebarang pulangan. Namun, beliau tidak peduli dengan ejekan orang lain.

Tan Sri Lim Goh Tong membentuk satu pasukan seramai 20 orang dan menggunakan 9 hari 9 malam untuk meninjau persekitaran Gunung Kali. Untuk menyiapkan jalan ke puncak gunung dalam 3 tahun, beliau dan pasukannya bekerja 24 jam 7 hari seminggu. Untuk menjimatkan masa, beliau sanggup tinggal dalam hutan dan gua agar jalan itu dapat siap dalam tempoh masa yang ditetapkan. Sepanjang tempoh pembinaan jalan itu, beliau nyaris mengorbankan nyawanya. Disebabkan sepanjang tempoh itu, beliau dan pasukannya menghabiskan masa 24 jam setiap hari dalam hutan. Dengan itu, mereka terdedah kepada risiko diserang oleh haiwan liar. Dari tahun 1965 hingga 1971, dalam 7 tahun tersebut, beliau bekerja tanpa pendapatan. Wang belanjaannya diperoleh dari Rancangan Pengairan Kemubu di Kelantan. Disebabkan hasratnya ini, beliau nyaris muflis kerana beliau telah melaburkan semua wangnya dalam merealisasikan hasrat ini.


Tan Sri Lim Goh Tong merupakan usahawan yang terbaik dalam menunjukkan ciri keusahawanan ini. Beliau bukan sahaja sanggup menerima risiko mengalami kerugian, beliau juga menerima risiko mengorbankan nyawanya. Semangat beliau yang begitu kental ini patut dicontohi oleh generasi baharu. Dari pengalaman beliau, boleh dilihat bahawa Tan Sri Lim Goh Tong telah mengambil risiko yang cukup besar untuk membangunkan Gunung Ulu Kali. Sekiranya pada masa beliau melihat peluang ini, beliau takut mengambil risiko ini atau berputus asa semasa diejek oleh orang lain, hari ini Bukit Tinggi Genting tidak akan wujud dalam Malaysia. 

No comments:

Post a Comment